PELABURAN TAK WUJUD: 15 LELAKI DIDENDA RM10,000
Mahkamah Majistret Bentong menjatuhi hukuman denda RM10,000 tiap seorang ke atas 15 lelaki selepas mereka mengaku terlibat dalam penipuan pelaburan tidak wujud yang menyasarkan mangsa dari Singapura.
11/10/2023 04:48 PM
BENTONG, 11 Okt (Bernama) — Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhi hukuman denda RM10,000 tiap seorang ke atas 15 lelaki selepas mereka mengaku terlibat dalam penipuan pelaburan tidak wujud yang menyasarkan mangsa dari Singapura.
Majistret Nadhratun Naiem Zainan turut memerintahkan kesemua tertuduh berumur 17 hingga 31 tahun itu dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah premis di Genting Highlands di sini antara 12 tengah hari hingga 6.30 petang 5 Okt lepas mengikut Seksyen 120B(2) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara enam bulan atau denda atau kedua-duanya.
Mengikut fakta kes, perkara itu terbongkar selepas premis yang dijadikan pusat panggilan sindiket penipuan tersebut diserbu oleh anggota dari Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong.
Sindiket itu dipercayai mencari mangsa secara rawak di aplikasi mencari jodoh ‘Coffee Meets Bagel Dating’ dan selepas berkenalan, mereka menawarkan pautan ke pelaburan tidak wujud yang diuruskan oleh sindiket lain.
Dalam serbuan itu, polis turut merampas 19 komputer riba dan 69 telefon pintar dipercayai digunakan untuk melakukan kesalahan tersebut.
Peguam Lau Yih Yun dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, yang mewakili kesemua tertuduh, meminta mahkamah menjatuhkan hukuman denda paling ringan atas alasan mereka menanggung keluarga.
“Semua tertuduh difahamkan bekerja sebagai khidmat pelanggan dengan pendapatan bulanan antara RM3,000 dan RM4,000 seorang,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Zamharir Muhammad Zuhid pula memohon mahkamah menjatuhi hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh selain menjadi iktibar kepada masyarakat agar tidak melakukan kesalahan serupa.
Remaja antara ahli sindiket tipu pelaburan dalam talian ditahan
Oktober 10, 2023 12:09 MYT
Remaja antara ahli sindiket tipu pelaburan dalam talian ditahan
Yahaya berkata, siasatan awal mendapati modus operandi bermula apabila sindiket berkenaan mencari mangsa secara rawak menggunakan aplikasi cari jodoh ‘Coffee Meets Bagel Dating’. – Foto Sinar Harian
KUANTAN: Remaja berumur 17 tahun antara 20 individu dipercayai sindiket yang menjalankan kegiatan penipuan pelaburan tidak wujud secara dalam talian berjaya ditumpaskan.
Kegiatan sekumpulan sindiket itu dikesan hasil daripada pemantauan Bahagian Risikan dan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong bertindak atas maklumat kegiatan ‘calling centre’.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, susulan daripada itu serbuan di lakukan di sebuah premis di Genting Highlands, Bentong pada jam 6.30 petang pada 5 Oktober lalu.
“Kita menahan 20 individu terdiri daripada 15 warga tempatan manakala lima lagi warga asing yang menggunakan pas lawatan sosial.
“Kesemua suspek berumur dalam lingkungan 17 hingga 31 tahun ditangkap dipercayai terlibat dengan sindiket penipuan pelaburan tidak wujud dalam talian yang menyasarkan mangsa dari Singapura,” katanya ketika mengadakan sidang akhbar di bilik media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini pada Selasa.
Beliau berkata, sebanyak 19 unit komputer riba, 69 unit telefon bimbit, masing-masing satu keping pasport dan kad akses berserta kunci.
Yahaya menambah, siasatan awal mendapati modus operandi bermula apabila sindiket berkenaan mencari mangsa secara rawak menggunakan aplikasi cari jodoh ‘Coffee Meets Bagel Dating’.
“Setelah berkenalan sindiket akan menawarkan pelaburan tidak wujud untuk memperdaya mangsa. Seterusnya mangsa diminta untuk memuat naik aplikasi pelaburan di pautan diberikan.
“Justeru, untuk urusan selanjutnya ia di uruskan oleh sindiket lain,” katanya.
Menjawab pengoperasian sindiket ini, Yayaha memaklumkan ia dipercayai telah beroperasi kira-kira tiga bulan, bermula dari 3 Ogos lalu.
Jelasnya, semakan rekod jenayah lampau mendapati segelintir suspek memiliki beberapa rekod jenayah dalam kes penipuan dan dadah.
“Kesemua mereka ditahan teman sehingga 12 Oktober depan. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.
Sehubungan itu, pihak polis mengalu-alukannya sebarang maklumat daripada orang ramai berkaitan dengan aktiviti ‘calling centre’.
Tegas Yahaya, sebarang aktiviti mencurigakan, orang ramai perlu menyalurkan maklumat terus ke bilik gerakan polis Pahang atau mana-mana balai polis berdekatan.
发表回复