2025.3.21 Doktor didakwa rogol, lakukan persetubuhan luar tabii terhadap pembantu klinik
KUALA LUMPUR: Seorang doktor di sebuah klinik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan merogol dan melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii terhadap pembantu klinik, Sabtu lepas.
Dr Mohd Rafi’uddin Hamidon, 35, didakwa merogol wanita berusia 21 tahun itu di dalam bilik stor di sebuah klinik di Pantai Dalam di sini antara 4 pagi hingga 5 pagi, pada 15 Mac lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 375 (b) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 376 (1) kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan juga sebatan, jika sabit kesalahan.
Lelaki itu juga didakwa melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap mangsa sama pada tempat, masa dan tarikh serupa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Nidzuwan Abd Latip tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh dengan alasan kesalahan itu adalah serius dan tidak boleh dijamin.
Bagaimanapun, peguam Adi Zulkarnain Zulkafli yang mewakili Dr Mohd Rafi’uddin memohon supaya jaminan dibenarkan dengan alasan anak guamnya menanggung isteri serta tiga anak termasuk seorang bayi yang baru lahir.
“Pihak kami juga tidak membantah sekiranya syarat tambahan dikenakan terhadap tertuduh,” kata peguam itu.
Hakim Mohd Zaki Mohd Salleh membenarkan lelaki itu diikat jamin RM18,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah selain perlu melaporkan diri sebulan dua kali di balai polis berhampiran dan dilarang mengganggu saksi pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 23 April ini untuk sebutan kes bagi serahan dokumen.
2025.3.21 Wanita berdepan detik cemas rumah disamun empat lelaki bersenjatakan pisau
KUANTAN: Seorang suri rumah berdepan detik cemas apabila rumahnya di Felda Chini Timur, Pekan, dimasuki empat lelaki berpelitup muka hitam dan bersenjatakan pisau, semalam.
Ketua Polis Daerah Pekan Supt Mohd Zaidi Mat Zin berkata kejadian pada pukul 11.50 malam itu berlaku ketika wanita berusia 26 tahun terbabit sedang tidur di dalam bilik sebelum tersedar akibat bunyi barang jatuh.
Beliau berkata sejurus keluar dari bilik, mangsa terkejut melihat empat lelaki berkenaan dan menjerit sehingga salah seorang suspek bertindak mengacukan pisau di leher anak lelaki wanita itu yang berusia empat tahun dan sedang tidur di ruang tamu.
“Suspek kemudiannya mengarahkan wanita itu supaya diam dan menggeledah rumah berkenaan sebelum mengambil seutas rantai leher dan gelang tangan daripada ibu mertua mangsa yang berada di dalam bilik secara paksa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain barang kemas berkenaan, suspek turut mengambil dua telefon bimbit sebelum melarikan diri melalui pintu dapur rumah dengan jumlah kerugian dianggarkan sebanyak RM12,000.
Mohd Zaidi berkata mangsa memaklumkan bahawa semasa kejadian, suami dan bapa mertuanya tiada di rumah dan kediaman mereka tidak dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV).
“Kesemua penghuni rumah berkenaan ketika kejadian tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya sambil memaklumkan bahawa usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan.
2025.3.20 Guru ditahan disyaki pukul murid guna buku
MELAKA: Polis menahan seorang guru selepas disyaki memukul seorang murid perempuan menggunakan buku dan menarik rambut di tepi telinganya ketika berada di dalam kelas sehingga mendatangkan trauma kepada mangsa.
Menurut sumber, keadaan itu menyebabkan murid berusia 10 tahun yang bersekolah di Alor Gajah itu dikatakan takut untuk datang ke sekolah pada 14 Mac lepas akibat perbuatan guru lelaki bahasa Inggeris berumur 44 tahun itu.
“Ibu mangsa berusia 34 tahun kemudian membuat laporan polis pada Selasa lepas (18 Mac) kerana anaknya telah dirujuk ke bahagian psikiatri Hospital Melaka.
“Mangsa telah dirujuk di Hospital Melaka untuk rawatan susulan memandangkan emosi murid itu yang semakin tidak dapat dikawal dan keputusan laporan pegawai perubatan ialah alleged physical abuse by known person,” menurut sumber itu.
Sementara itu, Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Muktar mengesahkan menerima laporan bagi kes terbabit dan tangkapan dibuat pada 4 petang semalam di Pejabat D11 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka sewaktu dipanggil untuk memberi keterangan.
“Permohonan reman akan dibuat pada hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 3(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.
2025.3.20 DOJ Filipina dakwa Malaysia enggan beri kerjasama siasatan bekas Datuk Bandar
Jabatan Kehakiman Filipina (DOJ) mendakwa Malaysia enggan bekerjasama dalam siasatannya terhadap pelarian bekas Datuk Bandar Alice Guo, yang dipercayai telah pergi ke Malaysia sebagai sebahagian daripada rancangannya untuk melarikan diri dari Filipina.
Setiausaha Kehakiman Filipina Jesus Crispin Remulla berkata pihak berkuasa Malaysia enggan memberikan maklumat penting yang diminta, seperti rekod penerbangan dan butiran penerbangan yang dinaiki Guo.
“Malaysia sepatutnya memberi kami maklumat itu. Mereka tahu penerbangan dan pesawat apa yang dinaiki, ke mana dia pergi, tetapi mereka enggan memberikannya kepada kami,” kata Remulla seperti dipetik The Daily Tribune.
Dia menambah bahawa walaupun kerajaan Filipina telah “menggunakan semua usaha diplomatik” dalam permintaannya kepada Malaysia, ia tetap gagal mendapatkan kerjasama.
Remulla juga dilaporkan mendakwa bahawa keengganan Malaysia untuk membantu siasatan itu dikaitkan dengan keputusan mahkamah menolak anugerah timbang tara AS$14.9 bilion (RM62.5 bilion) kepada waris kesulatanan Sulu.
2025.3.19 Pekerja kebun didakwa bunuh ibu tiga anak
BATU PAHAT: Seorang pekerja kebun didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan membunuh kenalan wanitanya yang juga ibu kepada tiga anak, awal bulan ini.
Tiada pengakuan direkodkan daripada Muhammad Firdaus Baktehir, 29, berikutan kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Muhammad Firdaus didakwa membunuh Syarah Nurul Masturah Abdullah, 31, di sebuah rumah di Kampung Baru, Sri Gading dekat sini, kira-kira 5 petang, 8 Mac lepas.
Pertuduhan dbuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun hingga maksimum 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, hendaklah dihukum minimum 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sharifah Natasha Syed Ahmad yang tidak menawarkan jaminan kepada lelaki itu, manakala Muhammad Firdaus tidak diwakili peguam.
Majistret Arun Noval Dass menetapkan 24 April untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan forensik.
Pada 11 Mac, Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata kematian ibu tiga anak dalam kebakaran di Kampung Baru, Sri Gading diklasifikasikan sebagai kes bunuh.
Kebakaran berpunca daripada pertengkaran antara mangsa dan suspek sehingga berlaku insiden menggunakan pemetik api dan petrol.
Mangsa yang melecur sehingga 74 peratus meninggal dunia di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di sini, sehari selepas kejadian.
2025.3.11 Tak kira puasa, lelaki intai wanita mandi di masjid
JAKARTA – Seorang lelaki di Sukoharjo, wilayah Jawa Tengah ditahan polis selepas mengintip wanita sedang mandi di tandas masjid semasa bulan Ramadan, lapor laman berita Radar Solo.
Dalam kejadian pada Rabu minggu lalu, suspek yang dikenali sebagai APP, 21, pada awalnya pergi ke Masjid Al Fatih dengan alasan mahu menggunakan tandas.
Ketika berjalan, dia melihat seorang wanita masuk ke bilik mandi masjid tersebut lalu mengekori mangsa.
Dia merakam video mangsa menggunakan telefon bimbit dari bilik mandi bersebelahan, selain menggunakan lubang saluran air untuk mengintai mangsa.
“Ketika sedang mandi, mangsa melihat ada telefon bimbit sedang merakamnya. Menyedari dirinya dirakam, mangsa menjerit meminta tolong,” kata Ketua Unit Samapta Polis Surakarta, Komisioner Arfian Riski Dwi Wibowo.
Jeritan mangsa mengejutkan beberapa pengunjung masjid yang kemudiannya menangkap suspek ketika dia cuba melarikan diri.
“Suspek ditahan sebelum diserakhkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut,” kata Arfian.
2025.3.11 Sanggup robohkan rumah sendiri demi beli dadah
BANGKOK – Seorang lelaki berusia 31 tahun merobohkan rumah dua tingkat miliknya di Ku Mueang, wilayah Buriram bagi mendapatkan wang untuk membeli dadah, lapor laman berita Thaiger semalam.
Mon, 31, kini tinggal di dalam khemah selepas rumah tersebut dibongkar sepenuhnya, dengan hanya sebahagian dinding konkrit tidak dirobohkan.
Rumah dua tingkat dengan 12 tiang dan perabot lengkap itu kini hancur menjadi sisa runtuhan semata-mata.
Menurut penduduk setempat, Mon mengancam keselamatan mereka selepas dia menyerang seorang wanita sehingga mengakibatkan mangsa mengalami patah tengkorak.
Lelaki itu juga dikatakan sering mengalami halusinasi akibat ketagihan dadah yang melampau.
Ibu dan bapanya juga telah berpindah dari rumah itu kerana bimbang akan keselamatan diri mereka.
Superintendan Balai Polis Ku Mueang, Kolonel Polis Somchai Soponpanyaporn mengarahkan siasatan dijalankan yang membawa kepada penahanan Mon.
Mon bagaimanapun mendakwa bahawa anai-anai adalah punca dia membongkar rumah itu dan menuduh mangsa yang cedera parah tersebut cuba menyerangnya terlebih dahulu.
Mon mempunyai rekod jenayah lampau atas kesalahan mencuri dan dadah.
Dia kini menghadapi pertuduhan menyebabkan kecederaan serius dan penyalahgunaan dadah.
2025.3.11 Tipu jadi peguam, ejen hartanah didakwa babit penipuan RM48,000
JOHOR BAHRU, 11 Mac- Seorang ejen hartanah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, atas dua pertuduhan menipu dan memperdaya dua individu membabitkan jumlah RM48,000, tahun lalu.
Pengakuan dibuat tertuduh, S. Shaminee, 43 tahun di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Ariffin Ismail selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu bersama seorang lagi tertuduh yang juga pegawai penyiasat polis berpangkat Inspektor.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa menipu seorang lelaki berumur 44 tahun dan seorang wanita berumur 33 tahun dengan memperdaya mangsa untuk percaya bahawa tertuduh adalah seorang peguam yang boleh membantu menyelesaikan siasatan sedang dijalankan oleh penyiasat berkenaan.
Perbuatan tersebut mendorong kedua-dua mangsa melakukan transaksi pemindahan wang secara dalam talian, masing-masing berjumlah RM24,000 pada 17 Mac tahun lalu.
Pendakwaan didakwa dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM), Siti Asmah Zainal Ariffin, manakala tertuduh diwakili Mohd Shahrullah Khan Nawab Zadah Khan.
Ikat jamin dibenarkan sebanyak RM8,000 berserta beberapa syarat tambahan ditetapkan, manakala sebutan semula kes, 16 April depan.
2025.3.8 Bunuh kawan kerana liat bayar hutang

JAKARTA – Gara-gara tidak mahu membayar hutang seorang lelaki dibunuh oleh kawannya sendiri.
Media tempatan melaporkan, kejadian berlaku di Sumatera Selatan baru-baru ini, membabitkan suspek Rudi Hartono (RH), 40, serta mangsa IS, 52.
Menurut Ketua Unit Siasatan Jenayah (Kasat Reskrim) Polis Lubuklinggau, AKP M Kurniawan Azwar, kejadian pembunuhan itu bermula apabila suspek datang ke rumah seorang saksi dikenali SE di Kelurahan Bandung Kiri, Kecamatan Lubuklinggau Barat I, pada Selasa lalu.
“Ketika itu, mangsa IS turut berada di lokasi. Suspek kemudian bertanyakan tentang wang sebanyak 3.2 rupiah (RM866) yang dipinjam oleh mangsa kerana RH perlu membayar ansuran kredit kereta,” jelasnya kepada wartawan pada Khamis.
Namun, mangsa IS menyatakan bahawa dia tidak mempunyai wang dan belum mampu membayar hutangnya. Pada mulanya, RH memahami keadaan itu dan pulang ke rumah.
“Setibanya di rumah, suspek baru menyedari bahawa telefon bimbitnya tertinggal di rumah saksi. Lalu, dia memutuskan untuk kembali ke lokasi tersebut,” tambahnya.
Namun, semasa berada di hadapan rumah saksi, RH terdengar percakapan mangsa IS yang mengaku tidak berniat untuk membayar hutang tersebut dan memanggil RH dengan kata-kata kesat.
“Suspek yang marah mendengar kata-kata itu kemudian memasuki rumah saksi melalui pintu dapur dan mengambil sebilah parang,” ujarnya.
Selepas itu, RH menghampiri mangsa yang sedang berbual dengan saksi di ruang tamu dan terus menetak kepala serta lengan kiri mangsa.
“Mangsa mengalami kecederaan parah di kepala, manakala lengan kirinya hampir putus. Suspek kemudian melarikan diri selepas melakukan serangan tersebut,” jelas Kurniawan.
Kurniawan memberitahu bahawa mangsa sempat dibawa ke Hospital AR. Bunda Lubuklinggau untuk mendapatkan rawatan kecemasan. Namun, mangsa akhirnya disahkan meninggal dunia.
Dalam proses siasatan, pihak polis menerima maklumat bahawa RH berhasrat untuk menyerahkan diri. Seterusnya, pasukan polis menjemput RH di rumah mentuanya sebelum membawanya ke balai polis Lubuklinggau.
“Suspek berserta barang bukti telah kami terima untuk proses undang-undang yang seterusnya,” katanya.
发表回复